Yang di-Pertuan Agong menitahkan sesiapa sahaja Perdana Menteri baharu yang dilantik menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.
Menurut kenyataan itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan hadir pada perjumpaan bersama ketua-ketua dan wakil parti politik utama di Istana Negara semalam.
Katanya, sesi menghadap itu terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, AMANAH, Warisan dan Pejuang berlangsung lebih 90 minit bermula jam 2.30 petang, manakala sesi menghadap Gabungan Parti Sarawak dilakukan secara maya jam 1.40 petang.
Beliau berkata, baginda berdua menzahirkan mengadakan sesi menghadap itu bagi menyatakan pendirian pembentukan kerajaan yang stabil secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa 16 Ogos 2021 lalu.
Baginda turut menzahirkan sesiapa pun yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Fadil berkata, baginda juga bertitah bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Selain itu baginda juga bertitah:
* Kesepakatan dan kejujuran Ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan;
* Ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat;
* Majoriti petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit Covid-19 baharu setiap hari. Bahkan fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.
Baginda juga menitahkan supaya semua 220 Ahli Dewan Rakyat mempersembahkan surat akuan (SD) yang memberi kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri baharu. Semua SD itu mesti dikemukakan kepada Istana Negara sebelum jam 4 petang hari ini.
“Surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong juga bertitah baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu semasa yang dijadual pada Jumaat, 20 Ogos 2021.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak turut menzahirkan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.
“Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini,” katanya.
Katanya, baginda berdua juga menzahirkan pandangan supaya Ahli-Ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku.
Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan ketua dan wakil-wakil parti politik itu, demi mengharmonikan suasana, Ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia bekerja dalam satu pasukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan