Khamis, 8 Julai 2021

Sunting video sidang akhbar, OCPD SPU buat laporan

Oleh KHUZAIRI ISMAIL
NOORZAINY MOHD. NOOR

BUTTERWORTH: Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor membuat laporan polis di Balai Polis Kepala Batas, di sini hari ini berhubung satu rakaman video sidang akhbarnya yang disunting individu tidak bertanggungjawab.

Noorzainy berkata, beliau menyedari perkara itu selepas menerima video berdurasi 2 minit 12 saat berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang ini.

Beliau berkata, rakaman yang disunting itu didapati mengandungi komen suara berunsur politik yang mendakwa tindakan yang diambil (pihak berkuasa) dalam menangani Covid-19 ketika ini tidak berkesan.

“Ingin ditegaskan kandungan audio dan lain-lain video termasuk sidang media Ketua Polis Daerah SPU tidak ada kena-mengena dengan intipati yang disampaikan di dalam video (yang disunting) itu.

“Rakaman asal yang digunakan adalah berkaitan operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sungai Dua, Butterworth pada 2 Jun lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, laporan polis dibuat kerana penyebaran video itu boleh mengelirukan masyarakat.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kandungan berkenaan selain untuk mengesan pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: