Jumaat, 30 Julai 2021

Warga emas P Pinang boleh ‘walk-in’ suntik vaksin bermula 2 Ogos

 
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang telah mencapai 
51.1% kadar suntikan dos vaksin pertama.

GEORGE TOWN: Warga emas di Pulau Pinang boleh menerima vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di empat pusat pemberian vaksin (PPV) yang dikenal pasti mulai 2 Ogos depan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 peringkat negeri semalam.

“Golongan warga emas sama ada yang telah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau sebaliknya dan belum memperoleh sebarang janji temu boleh ‘walk-in’ bermula 2 Ogos ini di PPV Dewan Millenium (Daerah Seberang Perai Utara); PPV SP Arena (Daerah Seberang Perai Tengah) dan PPV Dewan Serbaguna Jawi (Daerah Seberang Perai Selatan).

“Di bahagian pulau pula, sebuah lagi PPV mega iaitu di SPICE Convention Centre (SPICE CC) akan beroperasi bermula 1 Ogos dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari dan PPV ini juga akan menerima warga emas secara walk-in untuk divaksinasi mulai 3 Ogos, khas kepada mereka yang menetap di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mereka yang merancang untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus perlu membawa dokumen diri khususnya kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi.

Menurut Chow setakat semalam, Pulau Pinang telah mencapai 51.1% kadar suntikan dos vaksin pertama.

“Kerajaan Negeri berjanji akan menggandakan lagi usaha ini bagi memastikan kita mencapai sasaran keseluruhan populasi dewasa negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih awal daripada sasaran iaitu pada awal September depan,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri juga akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan, pengesanan kontak dan rawatan sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam adalah hasil saringan besar-besaran yang dilaksanakan bukan hanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), malah juga daripada Program Penang Saring Covid Percuma dan inisiatif sendiri pihak industri khususnya,” katanya.

Chow berkata sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 daripada sektor perkilangan, tempat kerja (7), institusi pendidikan (2) dan tapak bina (2).

“Berdasarkan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 buah kilang telah diarahkan tutup bagi tempoh Januari hingga 26 Julai tahun ini, berbanding 17 buah kilang pada tahun lepas,” katanya.

Tiada ulasan: