Jumaat, 30 Julai 2021

Najib dan 39 Ahli Parlimen BN masih sokong kerajaan PN dipimpin Muhyiddin


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mendapat sokongan 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Sebanyak 40 orang Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Datuk Seri Najib Razak masih setia kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pendirian tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengadakan pertemuan dengan semua MP BN hari ini.

Kenyataan tersebut berkata:

Saya telah mempengerusikan satu perjumpaan bersama seramai 40 orang Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional. Hasil daripada perjumpaan ini adalah seperti berikut:

(i) Menjunjung kasih akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah; dan

(ii) Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional sebulat suara menyokong Kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin; dan

(iii) Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional juga akur dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Sebelum itu, Ismail Sabri juga menegaskan kerajaan PN masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli Parlimen, ia selepas timbul polemik berhubung kedudukan kerajaan dalam Dewan Rakyat ekoran kenyataan Istana Negara.

Terdahulu, PAS juga menyatakan pendirian sama mengekalkan sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

Awal hari ini, kontroversi tercetus semasa sidang Dewan Rakyat selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang dimuat naik dalam laman Facebook Istana Negara.

Susulan kenyataan tersebut, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan selepas timbul kes jangkitan Covid-19 yang dikesan berlaku dalam Parlimen dan ujian saringan dijalankan kepada semua Ahli Parlimen dan petugas yang berada di kawasan Parlimen.

Tiada ulasan: