Jumaat, 30 Julai 2021

10 jangkitan baharu Covid-19 dikesan di Parlimen: KP Kesihatan

AGENDA DAILY

Ujian saringan Covid-19 dilakukan di Parlimen semalam. - Gambar Facebook

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mengesan 10 lagi kes jangkitan Covid-19 dikesan ketika kakitangan perubatan melakukan ujian saringan ke atas semua yang hadir di Parlimen sejak pagi hingga jam 8 malam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 1,183 individu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit pada 29 Julai 2021.

Daripada jumlah itu katanya, sembilan kes dikesan positif Covid-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes setelah mengambil kira satu kes yang direkodkan pada pagi hari yang sama.

“Sebanyak dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala. Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan Covid-19 tersebut.

“Secara keseluruhan, sebanyak sebelas kes positif telah dikesan pada 29 Julai 2021 iaitu 10 melalui RTK Ag saliva test kit dan satu melalui RT PCR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata susulan pengesanan kes-kes positif tersebut, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

Tiada ulasan: