Ahad, 25 Julai 2021

Tiga beradik terperangkap dalam kereta berkunci

Oleh ASLIZA MUSA
ANGGOTA bomba membuka pintu kereta Proton Exora bagi menyelamatkan tiga beradik terperangkap di dalam kereta di Taman Perpaduan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM

IPOH: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tiga anak lelakinya termasuk sepasang kembar terperangkap di dalam kereta berkunci di Taman Perpaduan di sini hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika ibu kanak-kanak tersebut ‘meninggalkan’ anaknya di dalam kereta jenis Proton Exora sementara dia membeli kuih.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Khairuddin Hussin berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada pukul 5.21 petang.

Katanya, ketika anggota tiba di lokasi kejadian, didapati kembar berusia tujuh tahun itu sedang tidur manakala adik mereka yang berusia dua tahun sedang leka bermain.

“Anggota bomba cuba mengejutkan pasangan kembar itu dengan mengetuk cermin kereta namun gagal sebelum kami menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kenderaan tersebut.

“Tiga beradik itu terperangkap kira-kira 20 minit dalam kenderaan yang enjinnya tidak dimatikan sebelum menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga mereka tidak mengalami kecederaan dan diserahkan semula kepada ibunya.

“Kita mengambil masa kira-kira tiga minit untuk membuka pintu kenderaan itu. Operasi tamat pada pukul 5.51 petang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: