Sabtu, 31 Julai 2021

61 individu termasuk 3 dalang buat duit curi elektrik dicekup

Suspek menggunakan teknik ‘pancing’ sebagai modus operandi mereka iaitu 
dengan menggantung cangkuk besi pada kabel pencawang utama. (Gambar 
PDRM)

PETALING JAYA: Polis memberkas 61 individu termasuk tiga lelaki yang disyaki menjadi dalang kegiatan curi bekalan elektrik, dalam Op Bersepadu di Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Operasi di kawasan setinggan Kampung Bawang, Kolombong bermula jam 5 hingga 11 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Zaidi Abdullah, semua yang ditahan itu terdiri daripada 39 lelaki dan 22 wanita berusia antara 16 hingga 60 tahun.

Katanya, polis turut merampas pelbagai jenis kabel elektrik dianggarkan seberat 30kg yang digunakan dalam penyambungan serta kegiatan mencuri bekalan elektrik.

“Kita berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki menjadi dalang dalam penyambungan bekalan elektrik secara haram. Mereka dikatakan meminta bayaran daripada penduduk yang mahu membuat penyambungan baru dan penyambungan semula selepas bekalan dipotong SESB,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, suspek menggunakan teknik ‘pancing’ sebagai modus operandi mereka iaitu dengan menggantung cangkuk besi pada kabel pencawang utama bagi membolehkan aktiviti mencuri bekalan elektrik dilakukan.

“Berdasarkan pemerhatian kita, terdapat banyak wayar atau kabel dipasang secara berbahaya di kawasan penempatan itu. Lebih membimbangkan ialah banyak wayar dan kabel elektrik berada di takungan air,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Tiada ulasan: