Isnin, 26 Julai 2021

Polis didakwa terima suapan daripada mangsa kes khalwat

BERNAMA
twitter sharing button
Wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan berhubung hal ehwal
Wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan berhubung hal ehwal 
prinsipalnya iaitu dengan tidak membawa individu yang ditangkap atas kesalahan 
khalwat pada 2019 dan 2020.ke balai polis. (Gambar Bernama)
IPOH: Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan mengambil suapan berjumlah RM250 daripada individu yang ditangkap atas kesalahan khalwat pada 2019 dan 2020.

Abdul Hadi Abu Bakar, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Unit Kereta Peronda Polis (MPV) (8) Bahagian Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM50 daripada Muhammad Hafizuldin Hamzah, 25.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Taman D.R. Seenivasagam kira-kira pukul 2 pagi pada 30 Dis 2019.

Pertuduhan kedua, Abdul Hadi didakwa memperoleh suapan RM200 daripada lelaki sama di belakang bangunan Restoran Pelita Nasi Kandar di Jalan Kamaruddin Isa, Taman Fair Park antara 12.30 tengah hari dan 12.45 tengahari pada 5 Jan 2020.

Wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu dengan tidak membawa Muhammad Hafizuldin dan pasangan wanitanya berusia 19 tahun ke balai polis atas kesalahan khalwat yang dilakukan pada 30 Dis 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Okt depan.

Tiada ulasan: