Rabu, 28 Julai 2021

Kes sembuh paling ramai 11,526, jumlah di ICU 1,023


Data 27 Julai 2021

Sebanyak 207 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi – sama jumlah seperti semalam – menjadikan kumulatif 8,408 kematian sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu.

Jumlah kematian dalam tempoh itu termasuk 26 bukan warganegara.

Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 96 kes, diikuti Kuala Lumpur (34), Johor (21), Melaka (17) dan Kedah (15).

Data 27 Julai 2021

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh sama 11,526 pesakit disahkan sembuh menjadikan 865,439 kes kumulatif atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dicatatkan.

Sebanyak 170,224 kes dilaporkan masih aktif, sementara 1,023 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan 524 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu beliau memaklumkan 16,117 kes baharu akibat penularan tempatan direkodkan termasuk membabitkan 3,107 bukan warganegara.

Daripada 16,117 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak:

87 kes, 0.5 peratus (95.4% kes tiada sejarah vaksinasi) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan);124 kes, 0.8 peratus (83.9% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen);135 kes, 0.8 peratus (73.3% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 3 (radang paru-paru);6,710 kes, 41.6 peratus (79.5% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 2 (bergejala ringan); dan 9,061 kes, 56.3 peratus (94.4% kes tiada sejarah vaksinasi) kategori 1 (tidak bergejala).

“Secara keseluruhannya, pada mula didiagnosa: 2.1% kes dilaporkan hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 (82.7% tiada sejarah vaksinasi) dan 97.9% kes pada kategori 1 dan 2 (88.1% tiada sejarah vaksinasi),” katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan beliau berkata berdasarkan data terkini pada 26 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.14.

Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (nilai RT 1.29) diikuti oleh Kedah dan Johor (nilai RT 1.26), serta Sabah (nilai RT 1.23). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.

Pada masa sama Dr Noor Hisham juga memaklumkan 42 kluster baharu dikesan di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 3,527 kluster dengan 1,028 kluster masih aktif.

Katanya sebanyak 25 kluster membabitkan jangkitan di tempat kerja, 12 kluster komuniti, masing-masing dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan, dan satu kluster pendidikan.

Kluster tempat kerja yang direkodkan itu membabitkan enam di Johor; Selangor (empat); Sabah (tiga); masing-masing dua di Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur; dan masing-masing satu di Pahang serta Perak.

Sementara itu, empat kluster komuniti dikesan di Kelantan; Pahang (tiga); dan masing-masing satu di Terengganu, Sarawak, Kedah, Selangor dan Sabah.

Manakala Terengganu dan Selangor turut merekodkan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, dua kluster pusat tahanan di Perak dan satu kluster pendidikan di Putrajaya.

Tiada ulasan: