Rabu, 28 Julai 2021

Kluster kilang bukan punca utama jangkitan - Tengku Zafrul

BH ONLINE
Sebahagian pekerja menunggu giliran pada Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di sebuah kilang di Sungai Petani, kelmarin. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Sebahagian pekerja menunggu giliran pada Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di sebuah kilang di Sungai Petani, kelmarin. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

PUTRAJAYA: Tanggapan bahawa kilang menjadi punca utama jangkitan COVID-19 di dalam masyarakat sebenarnya jauh tersasar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkata berdasarkan data Kementerian Kewangan (KKM), kes penularan COVID-19 membabitkan sektor pembuatan hanya lima hingga 10 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19.

Katanya, apa yang lebih kritikal ialah jumlah mutlak kes di mana kes sporadik dalam komuniti menyumbang kepada 70 peratus dari kes keseluruhan COVID-19, manakala hanya 30 peratus membabitkan kes kluster, termasuk kluster dari sektor pembuatan.

"Walaupun, penularan melalui sektor pembuatan bukan punca utama penularan COVID-19, kerajaan tidak mengambil mudah langkah untuk mengurangkan kadar jangkitan di tempat kerja.

"Kerajaan telah melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi khususnya bagi golongan pekerja di mana kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan," katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-63, hari ini.

Tengku Zafrul menjelaskan, penutupan sepenuhnya kilang hanya akan memberi impak minimum kepada kawalan penularan COVID-19, tetapi kesannya sangat besar kepada pekerja yang kehilangan mata pencarian dan rantaian bekalan terutamanya bekalan asas.

"Ya, memang benar mengesan kluster itu penting bagi mengenalpasti lokasi atau lokaliti di mana tindakan bersasar bagi kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh KKM," katanya.

Selain daripada PIKAS, beliau berkata, kerajaan telah mengumumkan inisiatif seperti Safe@Work dan insentif potongan cukai bagi ujian saringan.

"Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh majikan.

"Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV," katanya.

Setakat 23 Julai lalu, sejumlah 16,697 syarikat membabitkan lebih dari 1.2 juta pekerja telah berdaftar dengan PIKAS.

Daripada jumlah itu, seramai 255,705 orang pekerja telah menerima dos pertama dan sebanyak 20,832 telah menerima dos kedua.

Tiada ulasan: