Selasa, 27 Julai 2021

Noh saran tamatkan surat kebenaran Miti, ganti 'pasport' dari KKM

PARLIMEN | Noh Omar menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan pengeluaran surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk perjalanan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebagai ganti ahli parlimen Tanjong Karang itu menyarankan kerajaan mengeluarkan pasport khas kepada individu yang diberi kebenaran keluar bekerja atau merentas negeri.

Hal itu kerana, kata Noh, tiada sebarang jaminan surat dikeluarkan Miti itu dapat mengekang penularan Covid-19.

"Boleh tak (kerajaan) ubah sikit SOP (prosedur operasi standard) ni?

"Selain daripada nak merentas negeri atau pergi kerja, saya ingat surat Miti ni hentikanlah. Miti bagi surat tapi apakah jaminan pembawa surat itu bebas daripada virus?" katanya.

Justeru Noh mencadangkan kerajaan merangka dasar dan SOP baru iaitu melalui pengeluaran pasport khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada individu yang menjalani ujian RTK Antigen (RTK-Ag).

Menurut Noh, Miti mengeluarkan surat kebenaran dengan mengambil kira sektor perkilangan namun yang turut perlu diperhatikan ialah sektor lain seperti perhotelan, usahawan kecil dan peniaga kecil.

Pasport tersebut kata Noh boleh ditetapkan tempoh sahnya dan apabila luput pemegang terbabit perlu menjalani ujian RTK semula.

Kos untuk menjalani ujian tersebut pula, menurutnya, boleh diberikan subsidi oleh kerajaan.

Tiada ulasan: