KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan kontrak tetap menaruh harapan supaya kerajaan mempertimbang rayuan mereka untuk diserap ke jawatan tetap walaupun kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak mereka bagi tempoh maksimum empat tahun ke atas.
Seorang pegawai perubatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, berkata mereka tetap memperjuangkan tuntutan itu untuk mendapat jaminan keselamatan pekerjaan.
Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, kumpulan doktor kontrak yang menyertai hartal tempoh hari turut menyerahkan referendum kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya tuntutan mereka dipertimbangkan.
"Buat masa sekarang, kami tidak ada sebarang rancangan untuk menyambung hartal. Usaha tetap diteruskan dan yang terkini, doktor kontrak di MAEPS menyerahkan satu referendum pada Isnin lalu kepada Pengarah PKRC MAEPS untuk dibawa ke Kementerian Kesihatan (KKM).
"Harapan kami semoga pihak kementerian membuka mata dan telinga serta mendengar rintihan doktor kontrak yang bertarung nyawa serta tenaga untuk berkhidmat ketika pandemik ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Isnin lalu, lebih ratusan doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.
Ia antara lain mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pegawai perubatan tetap di KKM, jaminan pelantikan tetap, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap semua doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak
Katanya, semua doktor kontrak yang menyertai perhimpunan itu berhak melakukan tindakan sedemikian.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan pegawai perubatan kontrak sehingga tempoh empat tahun dan ke atas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan