Operasi Pasar Besar Seremban akan ditutup selama tujuh hari mulai esok setelah 64 peniaga dan pekerja disahkan positif Covid-19, kata Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.
Katanya, peniaga dan pekerja terbabit disahkan positif wabak berkenaan hasil saringan yang diadakan secara meluas oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, semalam.
Katanya, seramai 676 individu membabitkan pekerja dan peniaga pasar itu terbabit dalam saringan berkenaan yang diadakan di pekarangan pasar bermula dari jam 2 hingga 7 petang.
“Saringan mass testing untuk peniaga dan pekerja di Pasar Besar Seremban yang dijalankan dari pukul 2 hingga 7 petang tadi telah menyaring seramai 676 orang.
“Dari jumlah tersebut, 64 orang telah didapati positif Covid 19. Semua yang didapati positif terus digelangkan oleh pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri. Mereka juga terus dibuat ujian PCR,” katanya dalam Facebook beliau.
Beliau berkata pegawai PKD Seremban akan terus membuat pengesanan kontak rapat dan membuat ujian seterusnya.
“Operasi Pasar Besar Seremban juga akan ditutup selama 7 hari bermula hari Isnin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan