Rabu, 28 Julai 2021

Riuh-rendah di Parlimen tak halang PM pengerusikan Sidang Khas MKN


Status Facebook yang dimuat naik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Walaupun Sidang Khas Parlimen riuh-rendah dengan suara menjerit-jerit Ahli-Ahli Parlimen khususnya daripada blok pembangkang, ia tidak menghalang Tan Sri Muhyiddin untuk terus menjalankan tugasnya bagi memastikan negara keluar daripada krisis Covid-19 dengan segera.

Perdana Menteri menjalankan tanggungjawabnya mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani pandemik Covid-19 bermula jam 3 petang tadi dan berakhir 6.20 petang.

Perkara tersebut dikongsi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam akaun Facebooknya dan turut memuat naik gambar mesyuarat yang berlangsung secara maya tersebut.

“Dari jam 3:00 pm sehingga jam 6:20 pm petang tadi YAB Perdana Menteri telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani pandemik Covid-19.

“Saya turut hadir secara atas talian,” katanya dalam status tersebut.

Sidang Khas Parlimen lima hari bermula hari ini yang menyaksikan kekecohan tercetus sejak awal pagi dengan sikap pemimpin pembangkang yang biadab sehingga mengeluarkan kata-kata kesat di dalam Dewan Rakyat.

Kekecohan tercetus semasa Muhyiddin mengucapkan takziah kepada semua mangsa Covid-19 dan meminta izin kepada Yang di-Pertua Dewan, Datuk Azhar Harun untuk bertafakur serta membaca doa sebagai menghormati mangsa yang terkorban.

Bagaimanapun, beberapa MP DAP bangun antaranya Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo dan Nga Kor Ming dan terus menjerit-jerit tanpa menghiraukan Muhyiddin yang sedang membacakan surah Al-Fatihah.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Ram Karpal Singh pula mengeluarkan kenyataan memaki Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun dengan menggelar beliau “government lapdog” (anjing suruhan kerajaan).

Semasa sesi petang pula, pemimpin pembangkang meneruskan kekecohan dalam dewan apabila bertikam lidah dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi soal jawab mengenai Program Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: