Jumaat, 30 Julai 2021

Ordinan Darurat perlu dibahas, kata pakar perundangan

Shamrahayu Ab Aziz berkata, Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan 
perihal Ordinan Darurat walaupun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021. 
(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ordinan Darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu dibentang dan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat, selagi baginda belum memperkenan untuk membatalkan ordinan berkenaan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shamrahayu Ab Aziz berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 150, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya Seri Paduka tidak perkenankan lagi ordinan itu untuk ditarik balik, maka apabila Parlimen bersidang, ia boleh dirungkaikan dan tindakan terbaik adalah dengan membahaskan ordinan ini yang saya fikir boleh menyelesaikan segala kekusutan ketika ini.

“Selain itu perbahasan ini juga boleh mendatangkan kemakmuran kepada demokrasi dan sekiranya perundangan itu diikut, ia akan lebih menunjukkan ketelusan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Subplot Ordinan Darurat’ di Bernama TV hari ini.

Menjelas lanjut, Shamrahayu berkata, Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan perihal Ordinan Darurat walaupun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibahaskan, Perkara 150 Fasal 7 membolehkan Ordinan Darurat ini diteruskan selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, teguran Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara perlu diambil sebagai pengajaran oleh setiap pihak bahawa prinsip Raja Berperlembagaan kini memasuki dimensi baharu.

Menurutnya dalam perkembangan terkini, Seri Paduka dilihat boleh menasihati, memberi amaran dan menyuarakan pandangan baginda kepada pihak kerajaan.

Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.

Tiada ulasan: