Sabtu, 31 Julai 2021

Pengumuman batal darurat lebih kepada isu teknikal - Naib Presiden Pas

Muhafandi Muhamad
Pengumuman batal darurat lebih kepada isu teknikal - Naib Presiden Pas
MOHD AMAR: Ia bukan benda besar, cuma pembangkang jadikan isu, (sedangkan) ia isu teknikal yang boleh diperbetulkan. - Gambar fail
 
KOTA BHARU: Situasi yang berlaku melibatkan pembatalan Ordinan Darurat sehingga menggamatkan suasana Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat adalah lebih kepada soal teknikal.
 
Bahkan menurut Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, situasi panas dan provokasi sengaja diwujudkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, membuatkan seolah-olah ia satu perkara besar.
Sebaliknya, Pas berpandangan, isu berkenaan boleh diperbetulkan.
 
"Yang saya faham dari kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjelaskan bahawa kerajaan buat keputusan untuk tarik balik semua Ordinan Darurat kerana akan habis pada 1 Ogos, jadi kerajaan perlu buat (batalkan).
 
"Keputusannya (ialah) untuk tarik balik ordinan. Jika tidak darurat, bagaimana ordinan hendak wujud? Keputusan Kabinet, kebetulan (dibuat pada) 21 Julai. Jadi, itulah yang saya faham.
 
"Tetapi, isunya teknikal sahaja. Keluar kenyataan Istana yang kata begitu, itu saya tak tahulah.
 
"Cuma, saya membaca pandangan peguam, bahawa perkara ini tak perlu dirujuk sebab ini keputusan Kabinet," katanya ketika diminta mengulas situasi yang berlaku sehingga timbul desakan supaya Takiyuddin meletak jawatan.
 
"Ia bukan benda besar, cuma pembangkang jadikan isu, (sedangkan) ia isu teknikal yang boleh diperbetulkan," tambahnya.
 
Mohd Amar berkata, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menyelesaikannya tanpa memihak kepada sesiapa.

Tiada ulasan: