Rabu, 28 Julai 2021

Tiada tindakan disiplin doktor mogok, kata Menteri kesihatan


Beberapa doktor dan pegawai kesihatan kontrak mengadakan mogok di seluruh negara semalam, tetapi kurang mendapat sambutan.

Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana doktor atau pegawai kesihatan kontrak yang menyertai mogok semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Insya-Allah tidak ada tindakan kepada mereka walaupun mereka telah pun keluar semalam berdemonstrasi…kita tidak akan ambil tindakan disiplin,” katanya menggulung pertanyaan Ahli-ahli Parlimen mengenai penerangan tindakan mengatasi penularan COVID-19 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kumpulan doktor dan pegawai kesihatan terbabit berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

Beliau juga berkata kerajaan menyediakan pelan jangka pendek dan sederhana termasuk melanjutkan tempoh jawatan kontrak dua tahun bagi membolehkan KKM membentangkan pindaan kepada Akta Pencen 1980 dan Akta Perubatan 1971.

Katanya pindaan kedua-dua akta itu bagi membolehkan pegawai perubatan kontrak mendapatkan jawatan tetap dengan kaedah berpencen atau pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya berjanji akan bawa ke Parlimen (pindaan akta) untuk kita boleh bantu mereka (pegawai kontrak), saya mengharapkan sokongan Ahli Yang Berhormat supaya ia dapat bahas (untuk dipinda) dan diluluskan supaya doktor kontrak ini dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham membentangkan penerangannya berhubung tindakan yang dilaksanakan KKM untuk membendung penularan wabak itu. Seramai 18 Ahli Parlimen membangkitkan persoalan dan memohon penjelasan lanjut.

Tiada ulasan: