Rabu, 28 Julai 2021

Tak pakai pelitup muka, Tajuddin dikompaun lagi


Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) tidak memakai pelitup muka ketika berada di bangunan Parlimen, semalam. - Foto Ihsan Pembaca

Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada di bangunan Parlimen.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ia susulan ciapan oleh seorang pengguna Twitter pada jam 10 pagi Selasa yang memuat naik gambar Tajuddin melanggar SOP dengan tidak memakai pelitup muka.

Ahli Parlimen itu didapati berbuat demikian ketika menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat semalam dan bertemu seorang individu kira-kira jam 2.30 petang.

Susulan itu pihak polis mengeluarkan notis kompaun pada jam 1 tengah hari, Selasa, terhadap Tajuddin.

“Nilai kompaun akan ditentukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beh turut menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi SOP PPN dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam usaha memutuskan penularan Covid-19.

Ini adalah kali kedua Tajuddin dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka.

Bulan lalu, polis mengeluarkan kompaun bernilai RM1,500 terhadapnya kerana tidak memakai pelitup muka ketika sidang media selepas insiden pertembungan dua tren LRT di ibu negara.

Tiada ulasan: