SEREMBAN: Seorang pembantu perubatan ditemukan mati seorang diri di dalam sebuah rumah di Taman Nusa Intan dekat sini, hari ini.
Lelaki berkenaan, P. Aravonthan, 30, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, polis menerima laporan kejadian tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi daripada seorang rakan lelaki itu yang ke rumah berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai mempunyai masalah peribadi. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, abang mangsa, P. Kaviyarasan, 32, berkata, kali terakhir dia menghubungi adiknya adalah pada hari Rabu lalu untuk bertanya khabar.
“Masa saya hubungi dia okay sahaja dan tidak memaklumkan dia mengalami masalah ataupun sakit.
“Lagipun dia jarang berkongsikan masalahnya dengan orang lain, namun dia sangat disenangi orang,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan