Khamis, 8 Julai 2021

Saifuddin imbau kisah stesen RTM ditutup sebab Covid-19

Oleh AMREE AHMAD

SAIFUDDIN ABDULLAH

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkongsi kisah mengenai banyak stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah ditutup akibat Covid-19.

 Pengalaman pahit itu berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September tahun lalu yang menyaksikan hampir kesemua petugas RTM di negeri tersebut dijangkiti pandemik berkenaan.

 “Ketika itu, bangunan penyiaran utama di Kota Kinabalu selain empat stesen radio tempatan di negeri tersebut terpaksa ditutup beberapa hari apabila kakitangan dikuarantin di rumah.

 “Bagaimanapun, penonton dan pendengar stesen RTM tidak sedar pun mengenai perkara itu kerana operasi siaran terus segera diambil alih stesen induk Angkasapuri di Kuala Lumpur.

 “Mujur ada staf berasal Sabah mampu kendali siaran dan apabila beberapa studio stesen di Angkasapuri ditutup, kami tetap beroperasi di seksyen yang masih lagi selamat,” katanya sebelum sidang akhbar setelah tamat sesi turun padang secara maya bersama dengan 39 petugas Telekom Malaysia (TM) dari seluruh negara pada hari ini.

 Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dengan mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut, beliau berharap 13,400 staf TM yang belum diberi vaksin akan segera menerima imunisasi.

 Apatah lagi, beliau difahamkan ada 870 petugas syarikat telekomunikasi itu sudah dijangkiti Covid-19 dengan enam daripada mereka meninggal dunia sejak penularan pada tahun lalu.

 Malah beliau menerima surat Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar yang merayu agar semua kakitangannya cepat divaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: