Khamis, 29 Julai 2021

Polis S'gor sahkan joget di majlis Bersatu langgar SOP - Laporan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Polis Selangor dilaporkan mengesahkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 pada majlis yang diadakan April lalu, sebagaimana dalam video tular baru-baru ini.

Klip video rakaman itu memaparkan sekumpulan anggota sayap wanita Bersatu sedang menari .

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya telah menyoal siasat penganjur majlis yang diadakan di sebuah hotel di Glenmarie, Shah Alam, dan kini dalam proses menyelesaikan siasatan mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Kita telah panggil pihak penganjur namun ada satu perkara perlu diselesaikan sebelum diserahkan kepada DPP,” katanya pada sidang maya dalam talian semalam, lapor Malay Mail.

Jelas Arjunaidi (gambar, bawah), program atau majlis masih dibenarkan ketika kejadian itu berlaku pada April lalu, namun kerana terdapat pelanggaran SOP maka pihak berkuasa perlu melakukan siasatan.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini berkongsi video berdurasi satu minit 35 saat di Facebook tanpa penjelasan bertuliskan "Fuhhhhh!"

Hantaran itu menarik lebih 25,000 komen, yang kebanyakannya marah dan kecewa terhadap pelanggaran prosedur Covid-19 ketika rata-rata rakyat Malaysia perlu berada di rumah kerana penutupan.

Ramai yang menyorot latar belakang program di atas pentas yang memaparkan gambar Ketua Wanita Bersatu Rina Harun dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.

Netizen juga menunjukkan beberapa peserta yang tidak menjaga penjarakan fizikal atau memakai pelitup muka.

Pun begitu, pegawai kepada Rina menjelaskan kemudian menteri terbabit telah merasmikan majlis itu tetapi dia sudah tidak ada di sana ketika kumpulan yang dilihat dalam video itu mula berjoget.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib, berkata siasatan dibuat susulan satu laporan polis diterima selepas video berhubung kejadian itu tular di media sosial.

“Pengadu mendakwa kumpulan individu tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di antara satu sama lain sehingga perkara itu tular menerusi media sosial.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya pada 25 Julai.

Seksyen 269 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa dan sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali

Tiada ulasan: