Tular di Indonesia seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari pusat kuarantin dipukul separuh mati oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa beberapa hari lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kampung di Toba, berdekatan pusat pelancongan Danau Toba di Sumatera Utara dan dirakam sebelum video berkenaan di muat naik di media sosial.
Menerusi rakaman video itu, sekumpulan penduduk dilihat menggunakan kayu panjang menyerang dan memukul seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai SS, berusia 45 tahun di Kampung Sianipar Bulu Silape di daerah Toba.
Dia kemudian diikat sebelum diheret untuk dibawa semula ke pusat kuarantin berkenaan.
Siasatan awal mendapati SS bertindak melarikan diri setelah penduduk tidak membenarkannya melakukan kuarantin kendiri di kampung berkenaan apabila disahkan positif Covid-19.
Bupati Toba Poltak Sitorus berkata SS diserang kerana dia telah melarikan diri dari pusat kuarantin di pusat kesihatan.
Katanya,penduduk kampung tidak berniat untuk menyerangnya, sebaliknya mereka hanya ingin menyelamatkan SS.
“Penduduk kampung sebenarnya ingin menjaganya dan sebab itulah dia dibawa ke pusat kuarantin,” katanya.
Sitorus berkata SS sebelum ini telah melarikan diri dari pusat kuarantin beberapa kali dan pulang ke rumah.
“Tindakannya itu sangat tidak bertanggungjawab kerana dapat membahayakan nyawa orang lain,” katanya.
Bagaimanapun, isteri SS mengesahkan suaminya dipukul sebelum dibawa semula ke pusat kuarantin.
“Khamis lalu, sekitar jam 5 petang, suami saya keluar dari rumah dan cuba mendekati orang ramai sambil menjerit mengatakan dia tidak dijangkiti Covid-19,” kata isteri SS.
Penduduk kampung gagal menangkapnya pada hari itu kerana dia lari ke hutan.
Namun, pada Sabtu lalu, penduduk kampung telah berjaya menangkapnya dan telah menghantarnya ke pusat kuarantin, namun dia sekali lagi melarikan diri tetapi ditangkap semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan