Sabtu, 31 Julai 2021

Pegawai Parlimen Dr Mahathir positif Covid-19

 Ahmad Mustakim Zulkifli

Bagaimanapun menurut pejabat Mahathir, pegawai tersebut tidak bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Seorang pegawai kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad disahkan positif Covid-19 dalam ujian saringan yang dilakukan di bangunan Parlimen pada Khamis, kata pejabat ahli Parlimen Langkawi itu.

Bagaimanapun menurut pejabat Mahathir, pegawai tersebut tidak bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

“Pegawai tersebut merupakan pesakit asimptomatik dan kini menjalani kuarantin di rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tun tidak bertemu dengannya dan disahkan negatif selepas ujian RTK dilakukan pada hari yang sama. Pegawai itu sudah mendapat dua dos suntikan vaksin.”

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sejumlah 11 kes positif dikesan di Parlimen pada 29 Julai.

10 kes dikesan menerusi RTK Ag Saliva dan satu menerusi RT PCR.

Katanya, susulan kes-kes positif Covid-19 di Parlimen, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

Pada Khamis Parlimen terpaksa ditangguhkan atas nasihat Noor Hisham disebabkan terdapat kes positif Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang Pakatan Harapan (PH) mengatakan ini merupakan “konspirasi” untuk mengelakkan perbahasan berhubung ordinan darurat di Parlimen.

Tiada ulasan: