Sabtu, 31 Julai 2021

Dua PPV di Labuan tutup, tiada lagi penerima vaksin

AGENDA DAILY

Pusat Pemberian Vaksin Dewan Taman Perumahan Mutiara Blok L, dan Dewan Foo Chow, Kampung Sungai Keling di Labuan ditutup mulai 2 Ogos setelah tiada lagi penerima vaksin di PPV berkenaan.

Dua pusat pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Foo Chow, Kampung Sungai Keling dan Dewan Taman Perumahan Mutiara Blok L, di Labuan akan ditutup bermula Isnin ini, 2 Ogos ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata mereka memutuskan untuk menutup dua pusat itu memandangkan hampir kesemua yang layak mendapat suntikan vaksin di Labuan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah divaksin.

“Sehingga semalam (30 Julai), Labuan telah memberi suntikan vaksin kepada 56,943 penduduk atau 83.13 peratus daripada 68,500 penduduk dewasanya,” katanya hari ini.

Memetik Bernama, beliau berkata sekurang-kurangnya 97.48 peratus atau 66,773 penduduk daripada 68,500 penduduk dewasa di negeri itu telah menerima dos pertama vaksin.

Rithuan berkata dengan penutupan dua PPV itu, pemberian vaksin akan tertumpu di Kolej Matrikulasi Labuan (secara jumpa terus), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (pandu lalu), Kompleks Darul Kifayah, Dewan Sri Labuan Jabatan Kerja Raya dan Klinik Kesihatan Membedai.

“PPV di Terminal Feri Antarabangsa Labuan akan berfungsi sebagai vaksinasi bergerak kepada pekerja sektor perkapalan, minyak dan gas, yang beroperasi berdasarkan panggilan apabila diperlukan,” katanya.

Pada 27 Julai lepas, Labuan telah selesai memvaksinasi penuh 80 peratus penduduk dewasa, menjadikannya negeri yang pertama dalam Wilayah Persekutuan dan di negara ini, mencapai komuniti kelompok Covid-19.

Kadar kebolehjangkitan (R-Naught) di Labuan juga berada di bawah 1.0 sejak dua minggu lepas dan hanya tujuh kes sehingga semalam, bermakna jumlah kes terus menurun.

Sembilan kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Labuan sebanyak 9,661.

Tiada ulasan: