Isnin, 26 Julai 2021

Projek tanam pokok hutan selesai seminggu lagi

Kakitangan Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat menanam pokok di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang sebelum ini dijadikan kebun durian Musang King haram. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat menanam pokok di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang sebelum ini dijadikan kebun durian Musang King haram. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

RAUB: Kerja-kerja menanam 20,000 pokok hutan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang sebelum ini dijadikan kebun durian Musang King haram dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan (PPH) Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata sehingga semalam sebanyak 16,445 pokok ditanam oleh kakitangan jabatan itu.

Beliau berkata, pokok spesies Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain ditanam di kawasan seluas 101 hektar selain 610 spesies pokok nadir membabitkan 200 pokok sentul dan 410 pokok tampoi.

"Purata setiap hari kakitangan JPNP dapat menanam antara 900 hingga 1,000 pokok hutan dengan jarak 6x6 meter.

"Di kawasan curam serta berbukit tanaman dilakukan mengikut teres sedia ada dan kerja menanam dibahagikan kepada beberapa kawasan bagi memudahkan aktiviti menanam diselaraskan," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, aktiviti menanam pokok hutan berusia antara dua hingga tiga tahun itu bermula 11 Julai lalu sebaik kerja-kerja menebang kira-kira 15,000 pokok durian Musang King selesai.

Hutan Simpan Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002.

Tiada ulasan: