Isnin, 26 Julai 2021

Tiada darurat lagi selepas 1 Ogos

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan menasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mengisytiharkan proklamasi darurat baharu setelah proklamasi darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.

Tegas Takiyuddin, persidangan Dewan Rakyat yang dijalankan sepanjang 26 Julai sehingga 2 Ogos itu juga telah mendapat perkenan Agong.

“Saya ada tiga perkara, respons kepada Ketua Pembangkang untuk memandu perjalanan mesyuarat hari ini.

“Isu mengenai Titah Yang di-Pertuan Agong, saya ingin menunjukkan di sini secara bertulis bahawa pemberitahu daripada YAB Perdana Menteri kepada speaker berbunyi, izinkan saya baca.

“Dengan hormatnya, saya ingin memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perkenan untuk kerajaan memanggil Mesyuarat Khas Penggal ke-3 Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang bersidang 26 Julai sehingga 2 ogos 2021. Documents speak louder than words.

“Tuan Yang Dipertua, yang kedua, saya ingin mengesahkan pada hari ini di dalam dewan ini, saya tertakluk kepada… kalau saya bercakap tidak benar.

“Bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan proklamasi darurat baru apabila tamat 1 hari bulan Ogos 2021.

“Ketiga, Kerajaan telah membuat keputusan berdasarkan Perkara 1503 untuk membatalkan semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat ini.

“Oleh kerana telah direvok, maka isu ungkai atau enakmen sudah tidak lagi relevan… Terima kasih,” ujarnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: