Khamis, 29 Julai 2021

Lagi pusat hiburan diserbu, 33 individu dikompaun

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SERBUAN yang dilakukan di sebuah pub di Waterfront di Kota Kinabalu semalam-IHSAN Oleh SURAIDAH ROSLANIPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Hanya selang dua hari selepas 50 individu dikompaun di sebuah pub kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal semalam, 28 lagi pelanggan dikenakan kompaun bagi kesalahan yang sama.

Dalam serbuan yang dilakukan menerusi operasi bersepadu di sebuah pub di Waterfront pada pukul 9 malam, semalam, seorang pengurus serta empat pekerja dan 28 pelanggan dikenakan kompau bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Pengurus dikenakan kompaun RM25,000 manakala, pekerja dan pelanggan dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, semasa pemeriksaan dilakukan di premis yang beroperasi menggunakan lesen restoran kelas dua itu, pasukan operasi mendapati muzik sedang dimainkan dengan kuat dan pelanggan sedang leka berhibur.

Berdasarkan pemeriksaan, seorang pengurus, empat pekerja serta 28 pelanggan yang berada dalam premis melanggar SOP ditetapkan iaitu menjalankan aktiviti pusat hiburan iaitu aktiviti yang terlarang serta tiada penjarakan fizikal.

“Oleh itu, pemilik dan pelanggan melakukan kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati premis menggunakan lesen restoran kelas dua. Maka, premis melanggar syarat berniaga dengan menjalankan aktiviti pusat hiburan dengan menggunakan lesen restoran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan kompaun bagi penyalahgunaan lesen berniaga.

Op bersepadu Covid-19- pematuhan SOP ini dijalankan bersama DBKK dan Kementerian Kesihatan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: