Rakyat mesti pilih calon berwibawa pada PRU15
BANGI – Rakyat kesal dengan sikap Ahli Parlimen ketika berbahas pada sidang khas Dewan Rakyat – yang bermula semalam.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, rata-rata rakyat terlalu kecewa dengan beberapa Ahli Parlimen – sehinggakan menganggap persidangan tersebut sebagai ‘Parlimen sarkas’.
Ini lontaran yang menggambarkan kekecewaan rakyat. Gelaran Yang Berhormat adalah satu penghormatan kepada Ahli Parlimen.
“Parlimen pula adalah dewan yang mulia kerana ianya merupakan pentas demokrasi untuk memberi hak perbahasan dalam membawa suara rakyat.
“Kebebasan untuk memberikan pandangan tetap terikat dengan peraturan mesyuarat, peraturan 36 yang berkaitan dengan kesopanan.
“…dan peraturan 37 berkaitan kesusilaan adalah peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap Yang Berhormat sebagai ahli mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, sudah sampai masanya rakyat memainkan peranan yang sebaik dan sebetulnya, lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
“PRU15 pasti tiba, mari kita pastikan kemuliaan dewan sidang Parlimen diduduki oleh individu pemimpin yang berwibawa.
“Semoga Parlimen sarkas dapat kita kembalikan semula berfungsi sebagai dewan yang mulia mampu berbahas dengan matang demi kepentingan umum,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta pengundi untuk tidak lagi memilih calon berasaskan parti malah calon ‘sarkas’ yang dicalonkan juga mesti disingkirkan pada PRU15.
“Sebaliknya kita pilihlah calon yang berasaskan peribadi yang berwibawa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan