Jumaat, 16 Julai 2021

Radzi Jidin dilantik semula sebagai Senator Dewan Negara


Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dikekalkan perkhidmatannya sebagai Senator bagi penggal kedua dan akan mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara, Isnin ini.

Turut akan mengangkat sumpah ialah Datuk John Ambrose, Datuk Bobbey Ahfang Suan dan seorang lagi ahli yang belum dikenal pasti yang semuanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keempat-empat mereka serta beberapa lagi pemimpin politik termasuk daripada UMNO dan PAS menamatkan tempoh perkhidmatan berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sambil memaklumkan setakat ini hanya tiga Ahli Dewan Negara yang diterima untuk dilanjutkan tempoh perkhidmatan dan seorang belum dipastikan.

“Bagi ahli Dewan Negara lain yang habis tempoh bulan ini dan seterusnya, maka ia tamat di situ sahaja kecuali Yang di-Pertuan Agong atau Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pencalonan baharu,” katanya memetik laporan Utusan.

Radzi dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 17 Julai 2018 sehingga hari ini dan lantikan semula akan berkuat kuasa mulai esok hingga 16 Julai 2024.

Manakala, John Ambrose mula dilantik pada 16 Januari 2018 sehingga 15 Januari 2021 dan lantikan semula pada 16 Januari hingga 15 Januari 2024.

Bobbey Ahfang satu-satunya Ahli Dewan Negara baharu dipilih oleh DUN Sabah dan lantikannya dijadualkan bermula 5 Januari 2021 sehingga 4 Januari 2024, namun tidak dapat dijalankan akibat penggantungan Parlimen.

Mesyuarat khas Dewan Rakyat dijadual 26 Julai ini manakala sidang Dewan Rakyat bagi penggal keempat Parlimen ke-14 dijadual berlangsung selama 15 hari bermula 6 September, namun setakat semalam belum ada tarikh bagi sidang Dewan Negara.

Tiada ulasan: