Jumaat, 16 Julai 2021

12 kes jangkitan Covid-19 dikesan berlaku di Parlimen


Parlimen Malaysia.

Menjelang pembukaan Sidang Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai ini, terdapat 12 kes jangkitan Covid-19 yang sudah dikesan berlaku di Parlimen setakat ini, kata Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata perkara itu amat membimbangkan dan langkah berjaga-jaga disamping prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi semua pihak yang hadir pada sidang yang akan dibuka nanti.

“Saya dimaklumkan tidak kurang 12 yang positif, saya yang duduk di kerusi, sangat berjaga-jaga dan rakan-rakan yang nak berjumpa di Parlimen pun kita tidak benarkan.

“Itu menjadi punca yang sangat menggerunkan kerana dilapor sekarang varian Delta tidak perlu menerusi perantaraan dan ia boleh disebarkan menerusi pengudaraan sahaja. Dalam soal ini kita risau dan minta dijauhkan,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Rais berkata sidang khas itu akan tetap berlangsung kerana desakan daripada banyak pihak dan saranan Yang di-Pertuan Agong supaya bersidang dengan segera.

Semalam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker), Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan sudah menerima pemakluman daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat bagi penggal keempat selama 15 hari bermula 6 September ini.

Sidang tersebut akan diadakan selepas sidang mesyuarat khas dijalankan pada 26 Julai ini.

“Selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memutuskan Takwim Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama mulai 6 September hingga 30 September 2021 bersamaan 15 hari.

“Mesyuarat Kedua mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021 bersamaan 32 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 6 September, jam 10.00 pagi bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: