KUALA LUMPUR: Pos Malaysia akan memberi keutamaan kepada bekas ejen Pos Rider dalam kapasiti secara sambilan ketika berlaku peningkatan jumlah bungkusan.
Pos Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jumlah bungkusan lazimnya melalui peningkatan pada waktu tertentu sepanjang tahun didorong oleh jualan khas oleh peruncit, musim perayaan, jualan tarikh khas seperti 9.9 atau 11.11 dan seumpamanya.
Menurut kenyataan, keadaan itu akan membolehkan bekas ejen Pos Rider memanfaatkan lonjakan berkenaan, sekali gus membantu Pos Malaysia mengekalkan kecekapan kos.
Mengulas mengenai rasionalisasi program khidmat luaran Pos Rider yang dilaksanakan mulai Khamis lalu, Pos Malaysia berkata dua perubahan utama pada segmen pos dan kurier mendorong kepada pelaksanaan langkah itu.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat penurunan ketara dalam jumlah mel biasa di seluruh negara. Seiring dengan penurunan ini, pertumbuhan e-dagang pula memperkembangkan perniagaan kurier.
"Pandemik COVID-19 juga mendorong perkembangan perniagaan kurier, kerana semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di rumah dan membeli-belah secara dalam talian.
"Penurunan jumlah mel biasa menyebabkan lebihan kapasiti tenaga kerja dalam kalangan posmen kami. Maka amat wajar bagi Pos Malaysia untuk membuka peluang kepada posmen ini menghantar bungkusan kurier, sekali gus mereka dapat memperoleh pendapatan tambahan dan memenuhi lebihan kapasiti ini," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan Pos Malaysia kekal komited untuk memastikan kemampanan dan daya maju perniagaannya.
"Oleh itu, dengan pandemik yang mempengaruhi segmen perniagaan lain dalam kumpulan, perancangan semula strategi, kos dan penggunaan sumber untuk perniagaan kami akan terus dilakukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan