KUALA KANGSAR: Kompaun yang dikeluarkan ke atas seorang sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan kerana kesalahan menghantar bantuan, sebaliknya disebabkan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata lelaki berusia 23 tahun itu dikenakan kompaun kerana menaiki sebuah kenderaan bersama seorang lain dari rumah berbeza dan tiada ikatan kekeluargaan.
Beliau berkata, tindakan itu adalah satu kesalahan mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021.
Katanya, tambahan pula ketika kejadian, mereka iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita sudah selesai menghantar bantuan di Lubok Merbau, namun selepas itu didapati berada di kawasan Istana Iskandariah.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan tular mengenai kompaun dikeluarkan ke atas individu dari NGO kerana menyampaikan bantuan di daerah ini.
"Dakwaan (kompaun kerana menghantar bantuan) tidak benar sama sekali. Hasil semakan mendapati tiada kompaun dikeluarkan kepada orang ramai atas alasan menghantar bantuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mengulas satu hantaran video memaparkan rakaman segmen temu bual melalui telefon stesen radio tempatan bersama ahli NGO terbabit yang tular sejak kelmarin.
Omar Bakhtiar bagaimanapun percaya video tular itu berpunca daripada salah faham dan ketidakpuasan hati individu yang dikenakan kompaun.
"Dalam segmen temu bual radio itu juga, pemanggil mengakui kompaun dikenakan ke atasnya selepas dia selesai menghantar bantuan.
"Segala bantuan yang ingin disampaikan NGO perlu melalui (kebenaran atau pemakluman) pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah. Bagaimanapun kita sudah ambil tindakan bagi menyiasat perkara ini," katanya.
Beliau berkata, polis amat mengalukan kerjasama orang ramai untuk memberikan bantuan, namun pada sama segala SOP perlu dipatuhi bagi membendung penularan COVID-19.
"Kami ingin menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak sahih di media sosial yang mana kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Selain itu, kami amat mengalu-alukan penyaluran maklumat berkaitan pelanggaran SOP PKP (sama ada) melalui laman Facebook 'Polis Daerah Kuala Kangsar' atau melalui talian 05-7762222," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan