Isnin, 19 Julai 2021

Polis akan periksa rumah pada Aidiladha

Oleh Faris Fuad

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah esok, bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidiladha mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata pemeriksaan secara rawak itu antara kaedah bagi membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19.

"Ya, kita akan buat pemeriksaan mengejut. Perkara itu akan dibuat secara umum dan rawak," katanya pada BH, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PDRM akan mengumumkan sama ada akan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah esok sempena sambutan Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri dipetik berkata, perkara itu akan diputuskan PDRM kerana tindakan penguatkuasaan pematuhan prosedur SOP PKP berada di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam membabitkan isu pelanggaran SOP PKP termasuk aktiviti ziarah esok.

"Tumpuan akan diberikan di kawasan perumahan (esok). Pada masa sama, pemantauan pematuhan SOP PKP akan diteruskan macam biasa," katanya.

Tiada ulasan: