Selasa, 20 Julai 2021

UEC berkiblat Taiwan, tak boleh disama taraf dengan SPM, SMA/SMU

 Siti Hafidah

Gesa KPM tarik balik kemasukan sijil UEC bagi mengikuti PISMP di IPG

BANGI, 9 Zulhijjah 1442H, Isnin – Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh sama sekali disama tarafkan dengan apa jua sijil di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang setara.

Ini kerana, UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya bukan sahaja berkiblatkan kepada Taiwan, tetapi juga ditentukan oleh Persatuan Cina, Hua Zhong, kata pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Tegasnya, perkara itu jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Membuat perbandingan, beliau berkata, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) kelolaan oleh kerajaan dengan prosedur ketat, selaras dengan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Manakala UEC katanya, adalah sekolah persendirian yang dibina oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ultra kiasu Cina, yang mereka sendiri yang menjadi lembaga dan pengelolanya.

“Daripada penyediaan silibus sehingga kepada peperiksaannya. Boleh dikatakan tidak ada sistem sebegini dalam dunia ini, pendidikan dikelolaan oleh NGO, kecuali pendidikan swasta.

“Dalam UEC, mereka (NGO ultra kiasu Cina) itu sendiri yang merangkakannya tanpa merujuk kepada kepada pihak yang berautoriti, seperti proses persijilan lain yang dikelola oleh kerajaan.

“Sebab itu, perbandingan dua sijil ini tidak wajar sama sekali dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serentak itu, Ridhuan Tee menggesa KPM menarik balik kemasukan sijil UEC bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Katanya, dengan pengiktirafan UEC ini bukan sahaja tidak berlaku adil kepada dasar negara, tetapi juga kepada pelajar-pelajar Cina yang berada dalam aliran kebangsaan.

Ini termasuk yang berada di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC), yang bertungkus lumus belajar bersama dalam aliran kebangsaan.

“Tiba-tiba UEC datang menutup peluang itu. Tidakkah kita berlaku zalim terhadap mereka semua,” katanya.

Tiada ulasan: