Jumaat, 23 Julai 2021

Individu toreh muka lelaki ditahan polis

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

JEMPOL: Selepas sembilan bulan bebas, individu yang menoreh muka seorang lelaki dengan pisau dalam kejadian pada 19 Oktober tahun lalu, berjaya ditangkap polis Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata suspek lelaki berusia 32 tahun itu, ditangkap dalam keadaan mabuk pada jam 9 malam 19 Julai lalu di sebuah rumah di Bahau hasil risikan polis dan maklumat awam.

"Suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah dan satu rekod lampau berkaitan dadah, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis yang menjalankan pemeriksaan di rumah suspek pada Rabu lalu tidak menemui senjata digunakan ketika kejadian.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 47 tahun mengalami kecederaan koyak di antara pipi kanan hingga bawah telinga dan koyak di antara bawah pipi kiri hingga tepi bibir.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran sebuah restoran dan kedai gunting rambut di Taman Meranti mendapati suspek mengejar mangsa dari sebuah kedai hingga ke tempat kejadian sejauh 80 meter.

"Ketika mengejar mangsa, suspek mengeluarkan pisau, namun kejadian yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan itu tidak terakam oleh CCTV," katanya.

Tiada ulasan: