Jumaat, 23 Julai 2021

Sinovac berkesan tangani varian Delta

BH ONLINE
Petugas kesihatan menunjukkan picagari yang sudah diisi vaksin Sinovac sebelum menyuntik kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Petugas kesihatan menunjukkan picagari yang sudah diisi vaksin Sinovac sebelum menyuntik kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Vaksin CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac yang digunakan secara meluas, termasuk di negara ini berkesan menangani COVID-19, termasuk varian Delta.

Pengeluarnya, Biotech Ltd, berkata meskipun belum ada lagi data tersedia mengenai kesan perlindungannya, kajian membuktikan keberkesanan vaksin itu di beberapa negara seperti Brazil, Indonesia, Chile dan Turki.

Jurucakap syarikat, Liu Peicheng, berkata keberkesanannya melebihi 90 peratus terhadap jangkitan parah dan kemasukan ke hospital, malah kadar jangkitan selepas vaksinasi di negara terbabit juga sangat rendah.

"Walaupun ada penurunan dalam kesan peneutralannya, vaksin ini tetap efektif terhadap varian Delta," katanya yang berpangkalan di ibu pejabat syarikat itu di Beijing, dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

CoronaVac (Sinovac) adalah vaksin tidak aktif dan antara vaksin COVID-19 paling banyak digunakan di dunia. Namun, akhir-akhir ini terdapat kebimbangan mengenai keberkesanannya terutama terhadap varian yang lebih mudah berjangkit seperti Delta.

Pada 16 Julai, kerajaan Malaysia menyatakan akan menghentikan penggunaan vaksin Sinovac di bawah Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK).

Bagaimanapun, 14 juta dos vaksin masih tersedia untuk negeri dan syarikat swasta yang berminat, bermula bulan ini hingga September.

Sementara itu, mengenai keperluan suntikan penggalak, Peicheng berkata, walaupun penyelidikan Sinovac menunjukkan peningkatan kadar antibodi yang ketara selepas dos ketiga, syarikat itu masih mengkaji keperluannya dan prosedur lain yang berkaitan.

"Sinovac sedang giat menjalankan penyelidikan klinikal ke atas vaksin khusus sebagai suntikan ketiga untuk meningkatkan imuniti.

"Vaksin baharu itu akan memberikan perlindungan yang lebih tinggi khususnya terhadap varian Gamma dan varian Delta yang mudah berjangkit.

"Selepas penyelidikan selesai, kami akan mempertimbangkan keperluan untuk mengemukakan cadangan dos ketiga kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Pengeluar ubat Pfizer dan rakannya BioNTech, baru-baru ini mengumumkan sudah memohon kelulusan pengawal selia Amerika Syarikat dan Eropah untuk menawarkan suntikan penggalak, mendakwa bahawa terdapat bukti menunjukkan individu lengkap divaksin juga berisiko besar terkena jangkitan kerana keberkesanan vaksin menurun selepas enam bulan.

Di rantau Asia Tenggara, Sinovac, pemaju dan pengeluar vaksin terkemuka di China, setakat ini sudah mengeksport lebih 150 juta dos vaksin ke negara, termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja dan Singapura.

Sementara di Malaysia, syarikat China berkenaan bekerjasama dengan Pharmaniaga Bhd untuk membekalkan 14 juta dos vaksin COVID-19 secara pukal untuk anak syarikatnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

Kumpulan vaksin pertama, yang dihantar pada 27 Februari, berjaya dilancarkan pada 18 Mac di bawah PICK dengan Pharmaniaga berjaya menghantar semua 12 juta dos vaksin kepada kerajaan bulan ini, lebih awal berbanding jadual.

Setakat ini, Peicheng berkata, Sinovac menghantar 16 juta dos vaksin 'ready-to-fill' dan vaksin siap kepada Malaysia pada separuh pertama 2021.

Syarikat itu, katanya, akan membekalkan tiga juta lagi dos vaksin siap serta 4.44 juta dos 'ready-to-fill' pada bulan ini.

"Kerjasama antara Sinovac dan Pharmaniaga berjalan lancar. Dengan sokongan Sinovac, Pharmaniaga telah meningkatkan kemampuannya dan vaksin yang dihasilkan sudah diluluskan untuk digunakan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Pada separuh kedua 2021, Sinovac akan terus memastikan kerjasama yang erat dengan Malaysia dan membantu memenuhi keperluan program vaksinasi Malaysia," tambahnya.

Katanya, berdasarkan kemampuan pengeluaran tahunan sehingga dua bilion dos, syarikat itu yakin dapat menyokong program vaksinasi di lebih banyak negara. - BERNAMA

Tiada ulasan: