Jumaat, 23 Julai 2021

8 September dengar permohonan pekebun Musang King cabar notis usir

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 September ini untuk rayuan 204 pekebun durian Musang King dari Raub yang sebelum ini gagal mendapat izin membuat semakan kehakiman notis pengusiran terhadap mereka oleh kerajaan Pahang.

Peguam Siew Choon Jern berkata, tarikh itu dipersetujui dalam pengurusan kes secara maya di depan Timbalan Pendaftar Razilawatee Abdul Rahman.

Siew berkata, rayuan itu sebelum ini dijadualkan untuk didengar pada Rabu, tetapi pihaknya meminta penangguhan.

Pada 5 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penangguhan interim pengusiran pekebun berkenaan sehingga rayuan mereka ini diselesaikan.

Ini bererti mereka masih boleh mengusahakan tanah berkenaan mereka tanpa diganggu pihak berkuasa.

Pada 23 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan mereka untuk izin mendapat semakan kehakiman terhadap notis usir dikeluarkan kerajaan negeri itu.

Notis usir berkenaan dikeluarkan pada 21 Disember, dengan pekebun terlibat diarahkan mengosongkan tanah berkenaan pada 4 Januari.

Zainal Azman berkata, notis itu tidak boleh disemak semula oleh mahkamah, manakala pekebun terlibat adalah penceroboh, seterusnya tiada hak dari segi undang-undang.

Pekebun terbabit memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap perintah kerajaan negeri itu yang mengarahkan mereka mengosongkan tanah masing-masing di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau, meliputi keluasan 2,167ha.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain perintah untuk mengosongkan tanah berkenaan mengikut Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahukan perintah berhubung keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberi pajakan dan hak penggunaan kebun tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu semakan keputusan pemberian sub pajakan tanah terlibat kepada mereka, dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Tiada ulasan: