Rabu, 7 Julai 2021

Ibu tahanan mati dalam penjara dapat ganti rugi RM340,000

Kamarulnizam Ismail dihantar ke penjara Tapah pada 3 Mac 2014 untuk menjalani 
hukuman selama dua minggu sebelum didapati meninggal dunia.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memberikan ganti rugi lebih daripada RM340,000 kepada ibu seorang pekerja kilang yang mati dalam penjara tujuh tahun lalu.

Panel itu, yang terdiri daripada hakim Yaacob Md Sam, Ahmad Nasfy Yasin dan M Gunalan, mengeluarkan perintah ganti rugi buat suri rumah Rahaya Salleh semasa prosiding dalam talian hari ini.

Rahaya mengemukakan saman terhadap kerajaan, polis dan Jabatan Penjara pada 2017 atas dakwaan serangan dan kecuaian selepas anaknya, Kamarulnizam Ismail, meninggal dunia di penjara Tapah.

Nasfy, yang menyampaikan keputusan mahkamah, memberikan ganti rugi am sebanyak RM290,000 kepadanya, tuntutan tanggungan RM40,800 dan ganti rugi khas RM10,000.

Rahaya turut menerima RM2,000 untuk perbelanjaan pengebumian anaknya, dan RM5,000 sebagai kos.

Minggu lalu, mahkamah memutuskan bahawa Rahaya berhak mendapat ganti rugi berhubung tuntutan tanggungannya dan kecuaian oleh kerajaan.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan perintah ganti rugi RM150,000 atas penahanan tidak sah dan “misfeasans” (salah guna kuasa) dalam jawatan awam.

“Beliau (Rahaya) telah membuktikan (dakwaan) kecuaian kerana peraturan lokap polis dan penjara tidak dipatuhi,” kata Nasfy.

Kamarulnizam, 39, dikatakan meninggal dunia antara 8.30 malam 7 Mac dan 2.30 pagi keesokannya pada 2014.

Dia dihantar ke penjara pada 3 Mac tahun itu untuk menjalani hukuman selama dua minggu selepas mengaku bersalah atas tuduhan bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Bapanya, Ismail Ahmad, pergi ke mahkamah Bukit Mertajam untuk membayar denda tetapi Kamarulnizam ingin menjalani hukuman penjara kerana dia berhasrat menggunakan wang itu untuk membaiki keretanya.

Ibu bapanya kemudian mengambil mayatnya di bilik mayat Hospital Tapah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rahaya berkata, Kamarulnizam memberi RM1,300 kepada keluarganya setiap bulan.

Katanya, anaknya ditahan polis pada 22 Feb 2014 bersama tiga yang lain, dan mendakwa Kamarulnizam diserang tiga anggota polis ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam.

Rahayu diwakili peguam M Visvanathan dan Sanjay Nathan Visvanathan, manakala kerajaan, polis dan pegawai penjara diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, Andi Razalijaya A Dadi dan Mohd Ashraf Abd Hamid.

Tiada ulasan: