PETALING JAYA: Cubaan bunuh diri tidak harus dijadikan sebagai kes jenayah, susulan desakan sebuah gabungan yang mahu pendakwaan ditangguhkan terhadap mereka yang cuba meragut nyawa sendiri, kata bekas ketua polis negara dan timbalan menteri.
Hanif Omar berkata, ia adalah satu ‘undang-undang yang tidak dapat dijelaskan’ yang diwarisi Malaysia dari England.
Beliau yang memegang jawatan itu selama 20 tahun, berkata mereka yang cuba membunuh diri hampir mengalami tekanan mental yang amat teruk atau menderita akibat menanggung kesakitan badan.
“Apakah kebaikan yang diperolehinya atau masyarakat untuk menekannya dengan perbicaraan kes jenayah, denda atau penjara?
“Apakah yang dilakukannya hingga menjejaskan masyarakat? Adakah layanan terhadap dirinya ini menyebabkan orang yang lain yang hidup tertekan, berhenti cuba menamatkan riwayat mereka? Saya tidak rasa begitu,” katanya kepada FMT.
Hanif berkata sekiranya ada, masyarakat harus membantu mereka yang cuba membunuh diri untuk mengatasi masalah dihadapi.
Dia berkata ‘peguam negara beberapa tahun lalu’ sudah menghentikan pendakwaan terhadap kes seperti itu.
Bagaimanapun, katanya tindakan membantu perbuatan bunuh diri harus kekal sebagai satu kesalahan.
Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh melabelkan undang-undang yang menjadikan perbuatan bunuh diri sebagai satu jenayah adalah sebagai ‘kuno’. Dia berkata ia lebih berkaitan ketika ini disebabkan berlakunya krisis kesihatan.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan pernah meneliti perkara itu sebelum ini untuk tidak menjadikan kes bunuh diri sebagai satu jenayah.
“Isu kesihatan mental memerlukan sokongan perubatan, bukan pendakwaan..ia seperti (bagaimana) kita melayan mereka yang tidak sihat, berbanding menahan mereka dan dihantar ke penjara,” katanya.
Yeoh berkata Malaysia tidak mempunyai data kes bunuh diri, yang mana ia penting dalam menangani isu berkenaan.
Dengan cara itu, katanya, pembuat dasar akan tahu bagaimana untuk menyalurkan dana kepada pihak berkepentingan terbabit kerana ‘semuanya adalah mengenai data’.
Mengulangi permintaannya untuk mewujudkan data itu, dia berkata tanpanya, respon kerajaan akan bersifat ad hoc tanpa perancangan teliti.
Semalam, ahli Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW) M Ramachelvam menggesa Putrajaya menangguhkan pendakwaan terhadap mereka yang cuba membunuh diri.
Katanya, moratorium terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan, yang menjadikan perbuatan bunuh diri sebagai jenayah, akan dianggap ‘amat penting’ ketika pandemik ini yang menunjukkan peningkatan bilangan kes bunuh diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan