Selasa, 6 Julai 2021

Ibu hamil perlu diutamakan terima vaksin

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR
Ibu hamil diberi keutamaan dalam pemberian berdasarkan arahan terbaharu Kementerian Kesihatan

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan kepada setiap Pengarah Kesihatan Negeri supaya mengutamakan pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu hamil dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Perkara itu dinyatakan menerusi pekeliling terbaharu ditandatangani Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Arahan dan pelaksanaan pemberian vaksin kepada ibu hamil itu berkuat kuasa serta merta hari ini.

Mengikut surat pekeliling bertajuk Garis Panduan Pelaksanaan Pemberian Vaksin Covid-19 Kepada Ibu Hamil, arahan itu dikeluarkan kerana kajian menunjukkan ibu hamil mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

Menurutnya, ibu hamil berdepan risiko jangkitan Covid-19 yang teruk sehingga memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan pernafasan. 

“Bagi meningkatkan kadar penerimaan vaksin Covid-19 dalam kalangan ibu hamil, pengenal pastian perlu dilakukan semasa lawatan rutin antenatal.

“Ibu mesti diberi penerangan dan ditawarkan vaksin Covid-19 seawal kehamilan. Janji temu akan diberi melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Menurut pekeliling itu lagi, ibu hamil perlu diberi penerangan berkenaan maklumat terkini berkaitan kelebihan dan kesan vaksin kepada ibu dan janin sebelum ibu menandatangani Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19. 

Jelasnya lagi, suntikan vaksin Pfizer masih menjadi keutamaan untuk diberikan kepada ibu hamil dan pemberian vaksin jenis lain dibuat hanya jika wujud masalah logistik dan pelaksanaan. 

Dos pertama vaksin Covid-19 juga boleh diberikan seawal 14 minggu dan diikuti dos kedua mengikut jangka masa yang ditetapkan dan kedua-dua dos sebaik-baiknya dilengkapkan sebelum ibu memasuki trimester ketiga. 

Justeru, Pengarah Kesihatan Negeri adalah bertanggungjawab dalam memastikan usaha untuk meningkatkan liputan penerimaan vaksin Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dijalankan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: