Selasa, 6 Julai 2021

2 kampung lagi bakal dikenakan PKPD mulai lusa

 Oleh AMREE AHMAD

PUTRAJAYA: Dua buah perkampungan di dua negeri bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak 14 hari bermula Rabu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti itu ialah Kampung Bagus, Rantau Panjang, Jajahan Pasir Mas, Kelantan yang merekodkan 23 kes.

“Turut dikenakan PKPD sehingga 20 Julai ini ialah Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, Bahagian Tawau, Sabah yang sudah pun mencatatkan sembilan kes positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kata beliau, empat lokaliti disambung lagi PKPD antaranya Penjara Sungai Udang (kecuali kuarters kakitangan) di Daerah Melaka Tengah, Melaka yang merekodkan 842 kes positif dilanjutkan sehingga 20 Julai ini.

Begitu juga di kuarters pekerja stesen tenaga Balingian Power Generation Sdn. Bhd., Jalan Sibu-Mukah, Bahagian Mukah, Sarawak tetapi disambung PKPD sehingga 13 Julai.

 Di Sabah, dua lokaliti dilanjutkan PKPD 14 hari melibatkan Kampung Ejuk, Daerah Kota Belud dan Kampung Warisan, Daerah Kota Kinabalu, Bahagian Pantai Barat. UTUSAN

Tiada ulasan: