ISKANDAR PUTERI: Enam sekeluarga yang tinggal di Kampung Pinggiran, Gelang Patah di sini, terpaksa berkumpul di ruang tamu rumah setiap kali hujan kerana atap di bahagian bilik kesemuanya sudah bocor.
Itu situasi yang terpaksa dihadapi seorang warga emas, Masri Jambari, 60, yang tinggal bersama isteri, dua anak, seorang menantu dan seorang cucunya.
Menurutnya, keadaan lebih membimbangkan selepas struktur rumah didiaminya itu kelihatan semakin usang dan seolah-olah menanti masa untuk rebah ke bumi.
“Beberapa tiang utama rumah ini sudah reput malah kebocoran boleh dilihat di semua tempat terutamanya di bahagian bumbung dan dinding.
“Ini termasuklah atap rumah yang sudah melengkung manakala bahagian dapur dan bilik kini hanya ditahan menggunakan kayu supaya tidak runtuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan wakil Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Aisyah Rahman. Turut hadir, Ketua Kampung Pinggiran, Abdul Rahman Halim dan Ketua Kampung Melayu, Rahizam Rahmat.
Tambah Masri, rumah itu bertambah teruk selepas ribut yang berlaku Isnin lalu sehingga menyebabkan tiang utama patah dan bahagian dapur runtuh.
“Waktu hujan lebat baru-baru ini, air masuk ke dalam rumah dan kami terpaksa mengeluarkan air yang bertakung serta menadah air hujan kerana atap bocor di semua tempat kecuali bahagian ruang tamu.
“Setiap kali hujan lebat terutama pada waktu malam kami semua tidak dapat tidur kerana rumah bocor di banyak tempat. Kami terpaksa berkumpul di ruang tamu setiap kali hujan.
“Saya tidak mampu untuk membaiki semua kerosakan yang ada di rumah ini kerana hanya bekerja mengambil upah mengopek bawang bersama isteri,” ujarnya yang telah berhenti kerja sebagai pemandu van kilang sejak empat bulan lalu.
Masri turut berharap ada pihak yang dapat membantunya membaiki kerosakan di rumah berkenaan sementara dia dan keluarga menunggu rumah menerusi program Bantuan Rumah Negeri Johor 2021.
Ujarnya, permohonan untuk membina rumah atas tanah seluas 0.242 hektar miliknya di kampung itu sudah diluluskan dengan kos ditanggung Baitulmal sepenuhnya.
“Pembinaan sepatutnya telah bermula pada April lalu namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan, mungkin kerana pandemik.
“Kami berharap ia dapat disegerakan namun sementara menunggu, saya mahu membaiki rumah ini dahulu kerana bimbang jika ribut berlaku lagi, rumah ini akan roboh,” katanya yang memaklumkan mereka tidak berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, tetapi sebaliknya tidak mampu membaiki rumah berkenaan.
Sementara itu, Aisyah memberitahu, pihaknya akan mencari golongan yang dapat menyumbang untuk mengumpul kos bagi membaiki kediaman berkenaan yang dilihat sudah tidak sesuai untuk didiami lagi.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mahu menyumbang boleh menghubungi Presiden Permata, Faridah Hamzah di talian 03-61278906 atau 013-7065553 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Permata Baiduri Malaysia iaitu 551128630934. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan