LUMUT: Lebih 1,000 penduduk di empat penempatan di Ayer Tawar dekat sini, terpaksa berkongsi hidup dengan ribuan lalat sejak kira-kira 20 tahun lalu, dipercayai berpunca daripada kewujudan ternakan ayam di kawasan seluas 1.2 hektar yang terletak berhampiran.
Malah, seringkali juga mereka terpaksa menghidu bau busuk tahi ayam terutama ketika hujan menyebabkan kehidupan penduduk sentiasa dalam keadaan tidak selesa.
Ia melibatkan penduduk yang tinggal di Kampung Batu 19, Taman Iswara, Taman Ilham dan penempatan di Ladang Bilham.
Penduduk di Kampung Batu 19, S Hakesh Kumar, 25, berkata, kawasan penternakan itu terletak dalam kawasan ladang sawit kira-kira 100 meter dari kampung tersebut menyebabkan lalat sering ‘menyerang’ rumah penduduk hampir sepanjang masa.
“Selain itu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu lori keluar masuk melalui jalan sebelah kampung kami sama ada membawa ayam atau tahi ayam yang dijual sebagai baja.
“Setiap kali tu juga bau busuk menusuk hidung kami terutama apabila air najis dari lori itu menitis sepanjang jalan sebelah kampung kami,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu hari ini.
Penduduk di Taman Iswara, K. Kumaran, 41, pula berkata, pihaknya sudah banyak kali mengadu kepada pihak berkuasa termasuk wakil rakyat sejak generasi bapanya sehingga kini namun tiada maklum balas diterima.
Terbaru, jelasnya, surat aduan dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan Majlis Perbandaran Manjung minggu lalu dan masih menunggu tindakan daripada pihak tersebut.
Ujarnya lagi, penduduk pernah berjumpa dengan pengusaha ternakan ayam itu bagi memaklumkan ketidakpuasan penduduk tetapi juga tiada apa-apa maklum balas.
Kumaran menegaskan penduduk kini mendesak ternakan ayam yang diusahakan secara kaedah lama itu ditutup atau dipindahkan ke tempat lain secepat mungkin.
Seorang lagi penduduk Taman Iswara, K Murali, 41, berkata, sebelum pandemik Covid-19, kadangkala mereka berasa malu apabila dikunjungi saudara mara dengan gangguan lalat itu kerana menyangka penduduk di kawasan itu pengotor dan suka mengabaikan kebersihan.
“Apabila memasak contohnya kari ikan, lalat selalu juga masuk ke dalam gulai itu mengakibatkan kami pun tidak lalu hendak makan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah JPV Perak, Dr. Ahmad Shafri Hassan berkata, siasatan pihaknya ada dua pengusaha ternakan ayam berlesen yang beroperasi di kawasan tersebut.
“Kawasan ternakan ayam di situ memang berada dalam pemantauan serta siasatan pihak kami.
“Setakat ini, saya difahamkan kedua-dua reban di situ telah kosong dan diarahkan untuk tidak membawa masuk anak ayam baru susulan aduan diterima daripada penduduk,” jelasnya.
Menurut beliau, JPV Perak akan mengeluarkan notis untuk menggantung sementara operasi pihak tersebut dalam masa terdekat.
“Kita akan melihat semua aspek yang mencetuskan kacau ganggu lalat terhadap penduduk berhampiran dan aspek yang perlu diperbaiki oleh pengusaha tersebut,” jelasnya lagi.
Menurutnya, apabila telah ada tindakan penambahbaikan dan pihaknya berpuas hati, mereka boleh beroperasi semula.
Bagaimanapun, tegasnya, jika pengusaha masih gagal mematuhi arahan dan tidak menambah baik pengurusan dan operasi ternakan mereka, maka JPV akan membatalkan lesen pengusaha tersebut. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan