Khamis, 8 Julai 2021

Bekas ahli Al-Maunah urus bank makanan

Terkesan dengan kesusahan yang dialami penduduk ekoran penularan pandemik COVID-19, telah mendorong seorang bekas ahli Al-Maunah menjadikan satu sudut di kedai jahitnya di Pulau Chondong, di Machang sebagai lokasi gerobok rezeki.

Che Sabri Che Jaafar, 51, berkata beliau tampil secara sukarela menguruskan bank makanan itu sejak dua minggu lepas, bagi membolehkan penduduk sekitar mengambil barangan keperluan asas secara percuma.

Beliau berkata gerobok rezeki itu menyediakan barangan termasuk gula, beras, telur, minyak masak, sardin dan keperluan lain yang dibekalkan secara berkala oleh seorang kenalan Nik Mokhtar Md Rashid, 41.

“Saya berasa terpanggil untuk sama-sama merealisasikan hasrat kenalan saya mewujudkan bank makanan dengan menawarkan kedai jahit yang terletak berdekatan Pasar Pulai Chondong sebagai lokasi gerobok rezeki.

“Walaupun menguruskannya secara sukarela tanpa bayaran saya tidak kisah, sebaliknya berasa gembira kerana secara tidak langsung saya dapat terlibat dengan kerja-kerja kebajikan membantu orang ramai yang dalam kesusahan semasa pandemik ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kedai jahitnya di Pulai Chondong, di Machang hari ini.

Bercerita lanjut, Che Sabri berkata gerobok rezeki itu dibuka setiap hari kecuali pada Jumaat, iaitu bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang.

“Hampir setiap hari sekitar 20 hingga 30 penduduk dari sekitar Machang datang mengambil barangan keperluan yang disediakan. Malah, ada juga penduduk yang mungkin terdesak datang pada waktu malam.

“Rata-rata mereka yang datang disebabkan terjejas pendapatan atau hilang pekerjaan memandangkan kebanyakan penduduk di sini bekerja di kuari, yang menghentikan sementara operasinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sementara itu, Nik Mohktar yang juga seorang pembekal tong gas di Machang berkata idea untuk mewujudkan gerobok rezeki adalah susulan usahanya menyediakan bakul makanan untuk penduduk yang terjejas pada Ramadan lepas.

“Ketika itu saya membuat bakul makanan menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM2,000 dan dimuat naik di laman Facebook.

“Tidak sangka pula usaha itu menarik perhatian ramai kenalan untuk turut menyumbang sehingga berjaya mengumpul sebanyak RM4,000. Dengan wang itu saya dapat membuat lebih banyak bakul makanan dan dimanfaatkan oleh kira-kira 300 keluarga,” katanya.

Beliau berkata, kaedah yang sama digunakan bagi mewujudkan gerobok rezeki kali ini selepas terkesan dengan keluhan penduduk yang menyatakan tidak memperoleh bantuan ketika tempoh pandemik ini.

“Stok bekalan di gerobok rezeki itu ditambah dua kali sehari. Untuk tempoh dua minggu ini saya telah membelanjakan kira-kira RM2,500, yang pada awalnya menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM1,600 sebelum tampil rakan-rakan lain menghulurkan sumbangan,” katanya yang akan meneruskan gerobok rezeki itu sehingga pandemik COVID-19 ini kembali reda,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: