Staff Writers MMALAYSIA NOW
Setakat ini , masih tidak
ada fakta yang jelas menunjukkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak
memiliki kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Peguam Negara Idrus Harus hari ini berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri sedia ada masih kekal untuk memiliki kuasa eksekutif Persekutuan dari sudut undang-undang, walaupun Umno membuat keputusan untuk meninggalkan kerajaan.
Idrus berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang fakta jelas yang menunjukkan Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik,” kata Idrus dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan Idrus hari ini adalah respons terhadap kenyataan media Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi yang mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan menggesa beliau meletakkan jawatan.
Zahid memberi alasan kerajaan gagal mengangkat aspirasi rakyat dan gagal menguruskan krisis pandemik Covid-19 dan peletakan jawatan Muhyiddin perlu diganti oleh perdana menteri sementara secara serta-merta.
Selain mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin, beliau juga turut menyatakan Umno tidak akan sesekali menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri atau penubuhan kerajaan ditunjangi Pakatan Harapan (PH).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan