Wednesday, June 9, 2021

Zaid Ibrahim & Co gagal batalkan saman Zaid Ibrahim

Sebuah firma undang-undang hari ini gagal membatalkan saman difailkan pengasasnya, Zaid Ibrahim yang berusaha menghalang firma itu daripada menggunakan namanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini menolak permohonan untuk membatalkan saman itu oleh Tetuan Zaid Ibrahim & Co.

Hakim Ahmad Bache membuat keputusan yang dikeluarkan melalui e-mel kepada pihak-pihak terlibat pada petang ini.

Dalam salinan keputusan yang diberikan kepada media, hakim memutuskan bahawa tindakan undang-undang itu bukan sesuatu yang sesuai untuk diputuskan secara ringkas melalui permohonan penyingkiran.

Dia berkata alasan firma undang-undang itu untuk membatalkan saman berkenaan, iaitu bahawa saman itu difailkan tidak tepat pada waktunya, adalah persoalan fakta yang perlu diputuskan melalui pendengaran saman utama.

"Ini bukan kes yang layak dan pantas untuk diselesaikan secara ringkas berdasarkan permohonan dan bukti afidavit saja," jelasnya.

Justeru hakim berkata perbicaraan perlu dijalankan di mana saksi akan dipanggil untuk memberikan bukti melalui bukti suara. 

"Mereka boleh diperiksa, diperiksa balas dan diperiksa semula, ”kata Ahmad. 

Dia kemudian menetapkan 17 Ogos untuk pengurusan kes saman selanjutnya.

Pada 18 November tahun lalu, Zaid mengemukakan saman terhadap firma guaman yang ditubuhkannya pada tahun 1987.

Pada 28 Oktober tahun lalu, dilaporkan bahawa Zaid, yang merupakan bekas pengerusi DAP Kelantan, akan kembali ke firma guaman yang ditubuhkannya 34 tahun lalu, di mana dia kemudiannya akan memegang jawatan pengerusi berkuat kuasa 1 November.

Zaid mendakwa setelah menjawat jawatan pengerusi firma guaman itu pada 1 November tahun lalu, firma itu secara tiba-tiba pada 9 November, memberinya notis pemberhentian daripada semua jawatan di firma tersebut dengan serta merta.

"Penamatan tersebut adalah berlandaskan apa yang diistilahkan sebagai "tindakan tidak sah" (unauthorized acts) yang plaintif kononnya telah lakukan secara sepihak, butir-butir perincian tidak dinyatakan.

"Plaintif menyatakan dan akan behujah bahawa penamatan daripada kedudukan beliau sebagai pengerusi dan sebagai rakan kongsi ekuiti firma tersebut (Zaid Ibrahim & Co) adalah salah dan beliau memelihara haknya untuk mendapatkan relif yang sesuai daripada defendan.

"Penggunaan nama peribadi plaintif oleh defendan bagi nama firma guamannya akan mendorong orang awam atau sebahagian daripada orang awam untuk mempercayai bahawa khidmat-khidmat yang diberikan oleh defendan adalah sebenarnya khidmat-khidmat yang diberikan oleh plaintif atau bahawa defenda mempunyai hubungan ekonomi bersama plaintif," kata pernyataan tuntutan saman itu.

Plaintif juga mendakwa bahawa firma itu salah menggunakan namanya pada nama firma tersebut kerana ia akan dianggap sebagai pelanggaran Peraturan Majlis Peguam No 2.01.

No comments: