Friday, June 4, 2021

Warga emas maut dihempap pokok tumbang

TANJUNG MALIM: Seorang lelaki warga emas maut dihempap pokok tumbang di Kilometer 125, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, berdekatan lampu isyarat Taman Universiti, dekat sini, petang tadi.

Mangsa yang berumur 67 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Ulu Bernam ke Tanjung Malim.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Katanya, apabila mangsa tiba di tempat kejadian tiba-tiba pokok yang berada di bahu kiri jalan tumbang lalu menghempap mangsa.

"Mangsa parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak pula berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.41 petang.

"Setiba di tempat kejadian, kami mendapati ada pokok tumbang menghalang jalan raya.

"Terdapat seorang mangsa bersama motosikal dihempap pokok yang tumbang di jalan terbabit," katanya dalam kenyataan.

Katanya, anggota bomba yang dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muallim telah melakukan kerja pemotongan dahan pokok bagi pembersihan jalan terbabit.

No comments: