Isnin, 21 Jun 2021

Tiada kesan sampingan penggunaan vaksin Pfizer di Malaysia – KKM

vaksin

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kesan sampingan berkaitan risiko miokarditis (radang otot jantung) dan perikarditis (lapisan luar jantung) yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin COVID-19 jenis mRNA di negara ini.

Pada masa ini, hanya satu jenis vaksin mRNA diluluskan penggunaannya di Malaysia iaitu vaksi Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech dan KKM merumuskan profil keselamatan vaksin itu kekal positif dan penggunaannya dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak terjejas.

KKM hari ini mengeluarkan kenyataan berikut merujuk kepada laporan oleh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura baru-baru ini, berkenaan risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan vaksin jenis mRNA.

Ketua Pengarah Kesihatam Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menjalankan penilaian risiko ke atas isu keselamatan berkenaan isu tersebut berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa.

“Manfaat semasa bagi pemberian vaksin ini adalah jauh melebihi risikonya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

BERITA BERKAITAN 1.33 juta vaksin Pfizer akan diagihkan sehingga Julai

Miokarditis merupakan radang pada otot jantung sementara perikarditis pula merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung. Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis atau pericarditis termasuklah sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga 13 Jun 2021, sejumlah 2,793,826 vaksin Comirnaty dari Pfizer telah diberikan kepada penduduk Malaysia, yang melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116,867 dos kedua.

“Sehingga kini, tiada laporan kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) spesifik untuk miokarditis/perikarditis yang diterima oleh NPRA/KKM,” katanya.

KKM juga mendapati sehingga kini, tiada tindakan regulatori yang telah diambil oleh badan-badan rujukan antarabangsa lain seperti European Medicines Agency (EMA) dan World Health Organization (WHO) ke atas produk vaksin COVID-19 jenis mRNA.

Kenyataan itu berkata, penilaian masih dijalankan bagi menentukan hubungkait isu ini dengan vaksin COVID-19 jenis mRNA.

KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin sentiasa terjamin.

Tiada ulasan: