TIGA buah negeri iaitu Perlis, Terengganu, Kelantan serta beberapa
buah negeri lain yang mencatatkan kes jangkitan harian Covid-19 yang
rendah dijangka beralih ke Fasa 2 Perintah Kawalan Pergerakan dalam
Pelan Pemulihan Negara seawal minggu depan.
Menurut sumber,
peralihan kepada fasa seterusnya itu dibuat menggunakan nilai ambang
negeri-negeri tersebut yang menyaksikan penurunan ketara kes penularan
harian.
Pada masa ini Perlis mencatatkan lima kes, Putrajaya
(11), Terengganu (20) manakala Labuan (132), Pulau Pinang (131), Perak
(137 ) dan Kelantan (159).
Selangor masih lagi mencatatkan kes
jangkitan tertinggi dalam negara sejak seminggu lalu dan hari ini sahaja
sejumlah 2,836 kes direkodkan.
Menurut sumber, beberapa laporan
terperinci berhubung perkara tersebut telah dibentangkan kepada Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak minggu lepas.
“Keputusan ini dibuat bagi berlaku adil kepada negeri-negeri yang
menunjukkan perkembangan positif sepanjang berada dalam fasa pemulihan
dengan mematuhi segala penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).
“Dengan
keputusan ini negeri-negeri berkenaan tidak lagi terhalang untuk
beralih ke fasa berikutnya hanya kerana kes-kes yang masih tinggi di
negeri Selangor,” kata sumber itu lagi.
Mengenai kes-kes di
Selangor yang masih tinggi, sumber tersebut memberitahu, Perdana Menteri
telah mengarahkan agar satu strategi khusus dilaksanakan di negeri
tersebut bagi memastikan lengkung pandemik dapat dilandaikan pada kadar
segera.
Sumber tersebut memberitahu, kerajaan sentiasa meneliti
laporan berhubung pandemik ini yang disediakan oleh agensi-agensi
terlibat dan keputusan peralihan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua
dibuat berdasarkan data-data mutakhir yang dikumpul di peringkat negeri
dan nasional.
“Ini satu pendekatan yang adil dan praktikal.
Negeri-negeri yang telah menunjukkan perkembangan positif berdasarkan
tiga indikator ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara boleh beralih
kepada fasa seterusnya,” kata sumber itu lagi.
Sumber tersebut
menambah, pendekatan ini merupakan satu bentuk galakan kepada negeri
lain untuk terus berusaha meningkatkan pematuhan SOP supaya boleh segera
beralih kepada fasa lain.
Bagi negeri yang masih tinggi kes
jangkitan harian kata sumber itu, penguatkuasaan SOP yang lebih ketat
perlu dilaksanakan untuk mengekang dan mengawal penularan virus ini.
“Langkah
ini akan membolehkan negeri-negeri tersebut mencapai nilai ambang yang
disasarkan dan beralih kepada fasa-fasa lain yang memberi lebih
kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani kehidupan seharian serta
meneruskan aktiviti ekonomi dan sosial sebagaimana ditetapkan,” katanya.
Menurut
sumber itu lagi, penetapan nilai ambang dalam Pelan Pemulihan Negara
juga memberi panduan yang lebih jelas kepada kerajaan untuk mengambil
langkah , pendekatan dan strategi yang tepat mengikut keperluan sesebuah
negeri.
Baca artikel berkaitan: Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara bersambung, lebih banyak bantuan akan diumum – Muhyiddin
Daripada kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiga hari lalu, jika beralih kepada Fasa 2, senarai positif sektor ekonomi boleh diperluaskan kepada perniagaan kedai buku dan alat tulis, gunting rambut (gunting sahaja), cuci kereta, barangan elektrik serta kedai komputer dan telekomunikasi.
Berdasar kenyataan Ismail Sabri itu, dalam Fasa 2 juga, pasar tani dibenar dibuka selain pasar pagi tetapi pasar malam masih belum dibenarkan sehinggalah sudah beralih Fasa 3.
Di bawah Fasa 3, dine in terhad kepada dua orang akan dibenarkan manakala semua aktiviti ekonomi dibenarkan kecuali berisiko tinggi seperti spa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan