PETALING JAYA – Pengarah dan pelakon, Isma Aizal Yusoof mengajak orang ramai menjadi sukarelawan bagi meringankan beban petugas barisan hadapan sepanjang musim pandemik Covid-19.
Katanya, pengalaman menyumbangkan khidmat di sebuah klinik kesihatan membuka matanya mengenai situasi mencabar dihadapi kakitangan perubatan dalam pelbagai bahagian.
“Hakikatnya kita sedang berperang dengan musuh yang kita tak nampak. Persoalannya, kenapa apabila perang di negara sendiri ramai yang macam tidak ambil peduli?
“Tetapi pelik apabila ada yang beriya-iya mahu mati syahid di Palestin? Adakah sebab mereka tidak nampak senjata dan bom, jadi mereka tidak sedar kita sedang berperang?
“Sedangkan di tanah air kita sendiri perlukan bantuan khususnya di klinik kesihatan, pusat vaksin dan sebagainya yang berhadapan masalah kekurangan kakitangan disebabkan pelbagai faktor.
“Saya harap sangat ramai lagi anggota masyarakat yang sudi menjadi sukarelawan. Jika ramai ‘turun padang’, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban petugas,” katanya kepada Kosmo! Online.
Terdahulu, pengarah Teman Lelaki Upahan itu terpanggil untuk melanjutkan kerja sukarelawan di sebuah klinik kesihatan sehingga 2 Julai ini yang sepatutnya dilakukan hanya seminggu.
Katanya, selepas merasai sendiri kesulitan dihadapi petugas barisan hadapan di situ yang kekurangan tenaga kerja, dia sanggup memperuntukkan lagi masa biarpun tanpa bayaran.
“Sepatutnya saya mendaftar sebagai sukarelawan cuma untuk seminggu tetapi apabila berada di sini, saya nampak betapa sibuknya mereka sepanjang hari.
“Disebabkan jumlah pesakit berganda dan kekurangan tenaga kerja, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertungkus lumus melakukan tugasan mereka malah setiap seorang perlu ‘multitasking’ demi memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Tugas saya adalah membantu urusan pendaftaran pesakit namun sebenarnya di bahagian lain pun kekurangan petugas. Bagi mengisi tempat yang lompong, mereka bergilir membantu.
“Macam seorang pemandu ambulan, dia tolong saya mendaftarkan pesakit manakala ada dalam kalangan pembantu perubatan di bahagian kecemasan, mereka kena jaga juga kaunter saringan COVID-19,” katanya.
Menurut penggiat seni berusia 39 tahun itu, pengalaman lebih tiga minggu berkhidmat bersama pejuang barisan hadapan cukup membuka matanya mengenai pengorbanan mereka.
“Selama ini saya mungkin macam orang lain yang cuma mampu berterima kasih di atas masa dan tenaga dicurahkan ‘frontliner’ namun hakikatnya pengorbanan mereka lebih besar daripada itu.
“Bagi saya, dapat menghulurkan khidmat dan bekerja dengan mereka juga sebagai antara tanda terima kasih.
“Jadi saya ambil peluang untuk lanjutkan lagi perkhidmatan hingga awal bulan depan dan diharap ada sukarelawan pengganti yang bakal duduk di tempat pendaftaran itu nanti.
“Mereka memang memerlukan sokongan kita semua. Andai tak dapat membantu dari segi tenaga, tolonglah pastikan kita putuskan rantaian jangkitan Covid19 ini,” luahnya lagi.
Isma turut memaklumkan peristiwa yang dilalui setiap hari dalam menjalankan tanggungjawab di situ mencetuskan inspirasi dalam berkarya.
“Banyak ilham saya dapat apabila berdepan sendiri pengalaman berharga ini malah saya bertuah dapat belajar bahasa Tamil serta Mandarin.
“Jangan terkejut kalau suatu hari nanti saya berkarya dalam drama bukan Melayu yang tentu sarat unsur kepelbagaian,” kongsinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan